Thursday, August 9, 2012

KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG


Pertandingan Kibarkan Jalur Gemilang Di Rumah Anda
dan menangilah pelbagai HADIAH HEBAT
anjuran MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA


                            Sempena sambutan kemerdekaan ke-55, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bertemakan “1 Rumah 1 Bendera” bermula 1 Ogos hingga 16 September. Kempen ini bertujuan menggalakkan rakyat di kawasan pentadbiran MPSJ mengibarkan bendera Malaysia di kediaman masing-masing untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara sekaligus menanam sikap patriotik di kalangan mereka. Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, kempen ini secara tidak langsung turut menzahirkan penghargaan masyarakat terhadap pejuang kemerdekaan tanah air, di samping menghayati pengorbanan mereka selama ini.

“Kempen ini terbuka kepada seluruh warga perbandaran MPSJ. Melalui kempen ini, MPSJ menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing. “Sebagai galakan kepada orang ramai, MPSJ menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM15,000 kepada orang awam yang memasang bendera di premis kediaman mereka sepanjang bulan kemerdekaan,” katanya semasa merasmikan kempen tersebut di ibu pejabat MPSJ hari ini.

Menurut Asmawi, orang ramai yang ingin menyertai kempen ini perlu menggantung Jalur Gemilang bersaiz seragam 3′x6′ dan menghantar maklumat premis menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke MPSJ dengan menaip Jomkibar<jarak>Nama<jarak>Alamat Premis dan hantar ke 39111.
Katanya, taman perumahan yang paling banyak memasang jalur gemilang akan diberi hadiah dalam bentuk geran pembangunan di mana juara akan menerima RM3000, naib juara (RM2000) dan tempat ketiga sebanyak RM1000.

“Tarikh tutup penyertaan kempen ini adalah pada 17 Ogos. Sehubungan itu, MPSJ berharap seluruh warga perbandaran merebut peluang ini kerana selain dapat menunjukkan semangat patriotik kepada negara, mereka juga berpeluang memenangi hadiah lumayan yang disediakan,” ujarnya lagi.
Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-80264469/4464 untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment